Tribunal Rayuan Kastam (TRK) adalah badan kehakiman bebas yang mendengar dan membuat keputusan di atas rayuan terhadap keputusan Ketua Pengarah Kastam di bawah Akta Kastam 1967, Akta Eksais 1976, Akta Cukai Jualan 1972 dan Akta Cukai Perkhidmatan 1975. Semua keputusan Ketua Pengarah Kastam kecuali di atas perkara kompaun dan rampasan barang boleh dirayu kepada TRK. Tribunal Rayuan Kastam telah mula beroperasi pada 1 Jun 2007 dan mendengar setiap rayuan di atas prinsip Adil, Telus dan Cepat yang menjadi teras fungsi TRK.
Perayu boleh memfailkan rayuan di TRK dengan mengisi Borang A (Notis Rayuan) dan membayar fi pemfailan sebanyak RM100.00. Borang A boleh diperolehi secara percuma dari pejabat TRK atau dimuat turun dari portal ini. Rayuan juga boleh difailkan secara atas talian di portal ini. Pendengaran rayuan boleh diadakan di tempat selain daripada Pejabat TRK di Putrajaya berdasarkan permohonan rasmi oleh Perayu. Dalam menjalankan bidang kuasanya, TRK boleh membantu pihak-pihak berunding penyelesaian dengan persetujuan sebelum pendengaran rayuan.
Setiap rayuan akan diselesaikan pendengarannya dalam tempoh masa 60 hari dari hari pertama pendengaran bermula seperti yang ditetapkan di dalam seksyen 141T(1) Akta Kastam 1967. Prosiding pendengaran rayuan di TRK adalah tertutup kecuali jika dipersetujui sebaliknya oleh kedua-dua pihak yang terlibat.